top of page

WAKTU TUHAN PASTI YANG TERBAIK


Shalom semua! Nama saya Ariana Anak Kimi. Saya merupakan Team Leader untuk NEXT GEN PROJECT: AWAKENING. Tajuk kesaksian saya kali ini ialah “WAKTU TUHAN PASTI YANG TERBAIK”.

Trip misi ini merupakan trip misi pertama saya. Pada awalnya, saya sangat teruja untuk menyertai trip misi ini. Setelah saya dijemput untuk melayani sebagai seorang team leader, banyak kerisauan yang timbul dalam pemikiran saya, “Adakah saya layak untuk menjadi seorang leader walaupun saya tiada pengalaman?” . Namun, saya tergerak hati untuk melayani apabila saya merenungkan tumpuan utama Next Gen, iaitu remaja. Di sini, saya tahu bahawa ini merupakan panggilan Tuhan untuk saya menyahut cabaran sebagai seorang Team Leader dalam Next Gen.

Sepanjang trip misi ini, banyak perkara yang telah saya belajar daripada pengalaman diri sendiri dan perkongsian daripada ahli-ahli kumpulan saya. Kami sering berdoa dahulu sebelum melakukan segala perkara. Hal ini memberi saya dorongan untuk terus maju dalam memimpin kumpulan saya ketika saya berasa penat. Saya amat terharu kerana rakan-rakan sepelayanan dalam kumpulan saya saling melengkapi antara satu sama lain supaya kami tetap bersemangat dan bersatu hati. Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dilaksanakan seperti yang telah kami rancangkan, namun saya berpegang teguh dengan firman Tuhan, iaitu Yesaya 55:8-9 yang telah memberi saya dorongan bahawa waktu dan rencana Tuhan adalah yang terbaik.

Pengalaman terindah yang saya alami melalui trip misi ini adalah apabila orang yang kami melayani terbuka hati untuk berkongsi tentang kehidupan mereka bahawa mereka tidak mempunyai harapan dalam kehidupan lagi kerana tekanan yang besar diletakkan atas mereka. Setelah perkongsian kami bahawa Tuhan Yesus akan selalu menyertai mereka dan mereka menerima kebenaran tersebut, mereka mengatakan bahawa sekarang mereka mempunyai harapan untuk terus berjuang dalam kehidupan. Senyuman mereka menyentuh hati saya. Di sini, saya dapat melihat betapa besarnya pekerjaan Tuhan sepanjang trip misi ini. Memori terindah dalam kumpulan pula, kami sering menyanyikan lagu pujian, membuat devosi, evaluasi, merancang dan memasak bersama-sama. Hal ini merupakan galakan terbaik untuk diri saya setiap hari sepanjang Next Gen.

Akhir kata, terima kasih kepada ahli kumpulan saya kerana sentiasa setia dalam melayani Tuhan. Saya meminta maaf sekiranya ada kekurangan daripada saya. Saya amat bangga melihat pertumbuhan dalam diri anda. Anda seperti keluarga saya yang sering memberikan galakan dan dorongan sepanjang Next Gen walaupun ini merupakan kali pertama kita melayani bersama. Tetap melayani, tetap setia. God bless!

Recent Posts

See All
bottom of page