Hi, Shalom anak-anak Tuhan. Saya Ronaldo anak Jamit merupakan lepasan STPM berasal dari Sri Aman. Saya akan berkongsi mengenai sebelum, semasa dan selepas Next Gen 2023.
Terima kasih kepada peribadi yang Tuhan amanahkan telah memperkenalkan Next Gen dan mengajak saya mengikutinya. Pada masa itu, saya tidak tahu apa itu Next Gen dan mengapa saya harus mengikutinya. Sejujurnya, persediaan untuk mengikuti program ini adalah kosong terutama dari segi rohani. Saya hanya mengikuti arahan yang diberikan dari semasa ke semasa.
Semasa Pra Next Gen banyak mengajar saya melalui topik-topik yang telah diajar. Melalui kelas yang dihadiri saya banyak belajar bagaimana hendak menginjili orang lain. Sejujurnya, saya tidak pernah mengikuti mana-mana perjalanan misi sebelumnya. Puji Tuhan, melalui kelas tersebut, saya dapat membuat persediaan yang cukup dari segi rohani. Terima kasih diucapkan kepada pengajar-pengajar masa itu. Melalui doa bersama-sama juga telah memberikan jawapan mengapa saya dipanggil untuk mengikuti program ini. Saya percaya kuasa doa yang membantu menjawab segala persoalan dan melepaskan beban dalam diri.
Tujuan perjalanan misi kali ini dapat dilihat dan dirasakan semasa pelayanan di Sekolah A2. Pelayanan di sekolah ini membuatkan saya berani untuk berhadapan dan melayani remaja. Syukur kepada Tuhan kerana telah menghadirkan peribadi yang hebat iaitu ahli kumpulan saya. Kerjasama, sokongan dan dorongan daripada mereka menjadikan saya lebih yakin untuk melayani orang lain. Pelayanan di sekolah ini juga menyedarkan saya bahawa setiap zaman yang seseorang hadapi ada cabarannya tersendiri. Seseorang itu amat memerlukan peribadi yang mampu membimbing mereka mengenali siapa Juruselamat mereka. Mereka juga memerlukan seseorang yang mampu mengajar mereka lebih mendalam akan agama. Pelayanan di sekolah A2 bukanlah satu kebetulan tetapi telah direncanakan Tuhan. Saya percaya Tuhan menghadirkan kami di sekolah ini kerana mereka merupakan generasi yang harus diselamatkan dan dibimbing rohani mereka. Pelayanan di sekolah ini mengajar saya bahawa manusia itu ada ragamnya tersendiri. Namun demikian, pertolongan daripada Tuhan mampu menolong saya berani berhadapan dengan mereka.
Perjalanan misi kali ini dapat saya simpulkan bahawa rencana Tuhan itu sangat indah. Syukur kepada Tuhan kerana perjalanan misi kali ini dipermudahkan. Segala yang diajar, belajar dan diberikan sepanjang misi ini diambil sebagai pengalaman untuk mengikuti perjalanan misi yang seterusnya. Syukur ditinggikan kerana kasih dan rencana Tuhan telah menemukan saya dengan ahli kumpulan yang dapat membangunkan iman diri ini.