top of page

DIATU MEH MAIA IA



Shalom ! Syukur Puji Tuhan saya diberikan kesempatan untuk memberi kesaksian sepanjang pelayanan saya dalam Projek Next Generation: Awakening kali ini. Baiklah, saya Sylvester akan mengongsikan kesaksian dan pengalaman peribadi saya sepanjang pelayanan Next Gen kali ini. “Diatu Meh Maia Ia” merupakan tajuk kesaksian saya yang bermaksud “Inilah Masanya.” Mengapa sekarang? Mengapa hari ini? Kenapa bukan tahun depan? Kenapa bukan tahun 2024? Inilah masanya. Masa apa? Inilah masa untuk kita bangkit memberitakan khabar baik kepada golongan remaja di Sarawak. Mengapakah fokus Next Gen lebih kepada golongan remaja? Hal ini kerana pada umur begini, para remaja akan menentukan hala tuju kehidupan mereka. Adakah mereka akan memilih untuk hidup dalam kegelapan atau terang? Adakah mereka mahu berjaya dalam kehidupan ataupun sebaliknya? Inilah saatnya golongan remaja ingin mencuba sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Inilah dunia keseronokan mereka. Oleh itu, inilah masanya untuk kita bangkit memperbetulkan apa yang salah dan mendidik golongan remaja agar mereka menjadi seorang peribadi yang luar biasa apabila mereka meningkat dewasa kelak. Mereka sangat haus akan Firman Tuhan, sangat rindu akan Tuhan dan sangat memerlukan Tuhan dalam hidup mereka. Inilah masanya untuk kita membawa kemenangan yang harus mereka kecapi dalam hidup mereka sebagai orang percaya. Jiwa yang berkemenangan merupakan generasi pemenang yang mampu memenangkan ramai jiwa di luar sana dalam menyampaikan khabar baik ke seluruh dunia. Jika pada umur remaja mereka belum mengalami kemenangan di dalam Yesus Kristus, bagaimana mereka boleh memenangkan jiwa-jiwa di luar sana? Sepanjang Next Gen ini, banyak kelas pemuridan dan latihan yang telah kami berikan kepada golongan remaja agar mereka mampu menjadi seorang pengikut Kristus yang berlipatganda dalam menjangkau lebih banyak lagi jiwa di luar sana khususnya di dalam sekolah mereka. Jika bukan mereka, siapa lagi yang akan menjadi generasi seterusnya dalam menyampaikan khabar baik? Diatu Meh Maia Ia. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua crews yang telah membantu saya sepanjang pelayanan Next Gen ini. Begitu juga, terima kasih kepada pemberi dana kerana telah sokong saya dalam aspek kewangan untuk kegunaan pelayanan saya sepanjang Next Gen ini. Saya ingin mengajak anda semua yang membaca kesaksian ini untuk bersama-sama dengan kami untuk menyertai pelayanan Next Gen pada tahun 2024 agar banyak lagi jiwa-jiwa yang dapat diselamatkan dan dimenangkan. Diatu Meh Maia Ia!! Tuhan Yesus Memberkati.

-Sylvester-

Recent Posts

See All
bottom of page