top of page

VICTORY IN JESUS


Shalom! Saya Challven selaku Vice Project Director untuk NextGen23 pada kali ini. Dalam kesaksian ini saya membawa tajuk “VICTORY IN JESUS” kerana sepanjang pelayanan saya di dalam NextGen ini, saya melihat bahawa Tuhan sudah mempersiapkan kemenangan itu, walaupun sebagai manusia kita melihat begitu banyak cabaran tetapi rencana Tuhan sudah terlebih dahulu memenangkan kita sejajar dengan firmannya di dalam ayat “Amsal 21:31”. Sejujurnya NextGen23 pada kali ini, saya sangat terkejut dan kagum akan pekerjaan Tuhan diatas saya kerana saya diberi tanggungjawab yang begitu besar meskipun ini merupakan kali pertama saya mengikuti pelayanan NextGen ini. Di sini saya berasa begitu tidak layak akan diri saya tetapi satu hal yang menguatkan saya adalah firman Yohanes 15:16b dimana Tuhan berkata “Bukan kamu yang memilih aku, tetapi Akulah yang memilih kamu”. Wow, begitu dahsyat kata-kata Tuhan untuk menguatkan kita!


Sepanjang pelayanan ini, kita tidak boleh menipu akan keadaan diri kita. Jujur perasaan sedih dan tertekan itu ada, namun satu hal yang pasti di sini adalah jangan biarkan perasaan itu menyebabkan iblis menyerang kita. Daripada ditegur iblis, lebih baik ditegur saudara seiman yang Tuhan siapkan untuk kita. Dengan bersandar kepada firman dan sahabat yang diutus Tuhan ini, kita akan menjadi lebih kuat di dalamNya seperti kata Tuhan di dalam ayat “Pengkhotbah 4:9-12”. Kesimpulannya, boleh bersedih dan boleh tertekan tetapi harus ada sukacita kerana kasih Tuhan itu lebih besar daripada segalanya. Hallelujah!


Untuk pelayanan saya bersama dengan team, wow Tuhan! Bukan hebat bukan kuat tetapi Engkau yang menguatkan kami Tuhan. Jujur bukan mudah untuk kami mengatur dan melayani sesuai dengan rencana dan ekspektasi kami, tetapi dengan kesatuan dan persefahaman, Tuhan menuntun kami dari awal hingga ke akhirnya. Jangan melihat kepada objektif tapi lihatlah kepada Tuhan terlebih dahulu. Berdoa kepadanya dan ambil jawapannya (Matius 21:22), percayalah segala sesuatu akan dipersiapkan sesuai dengan waktunya. Manusia fokus pada kejayaan tetapi Tuhan fokus kepada kita dan hanya kita. Ingat kemenangan yang benar juga dilihat di dalam diri kita bukan pelayanan kita.


Dalam pelayanan ini juga saya melihat begitu banyak anak remaja yang haus akan kasih Tuhan. Begitu luluh hati saya apabila mendengar setiap pergumulan dan kesaksian setiap remaja yang saya layani. Walaupun saya merasa masih belum cukup masa saya dengan mereka, tetapi Tuhan berkata “kamu sudah melakukan bahagian kamu dan memenangkan mereka, benih yang kamu tabur ini sudah cukup untuk Saya berbuah di dalam mereka”. Saya percaya rakan-rakan kumpulan saya juga merasakan hal yang sama. Saya juga bersyukur kerana setiap daripada kami mempunyai hati yang begitu rendah di dalam pelayanan. Terima kasih Tuhan untuk team, crew NG23, waktu, pelayanan dan kemenangan ini. Biar seluruh nafasku memuliakanMu, Yesus Tuhan Kau Rajaku.

Recent Posts

See All
bottom of page