top of page

Terima Kasih Next Gen 2022


Shalom, syukur kepada Tuhan kerana trip Next Gen 2022 yang bertemakan Regeneration berjaya dilaksanakan. Perjalanan saya sebagai crew Next Gen kali ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ini merupakan kali pertama saya menyertai trip pelayanan ini.


Syukur, puji Tuhan segala sesuatu telah disediakan oleh Tuhan dan dengan penyertaan Tuhan saya dapat menyertai trip ini. Trip ini telah membantu saya bertumbuh dari pelbagai aspek dalam kehidupan saya terutamanya dari segi aspek jasmani, jiwa dan rohani. Pertumbuhan jasmani dapat dilihat dalam perubahan timbangan sebelum trip bermula dan selepas trip ini berakhir.


Syukur puji Tuhan kerana dalam trip misi kali ini kami telah diberi makan secukupnya bahkan berlebihan oleh jemaat gereja serta para penyumbang dana trip ini. Terima kasih saya ucapkan kepada kamu. Selain itu, jiwa dan roh saya secara peribadi dalam trip kali ini telah dikuatkan.


Terdapat beberapa perkara yang dapat saya pelajari. Perkara pertama ialah tetap percaya kepada Tuhan. Pelayanan ini tidak lari daripada pelbagai cabaran sama ada dari segi perancangan, pelaksanaan dan hal-hal lain. Bagi saya cabaran yang paling ketara dalam trip kali ini adalah sebagai games crew. Sebagai seorang yang kurang kreatif, tindakan menerima pelayanan ini agak kurang wajar bagi saya namun apa yang terjadi, Tuhan telah sediakan kawan-kawan untuk membantu anakNya yang rasa kesusahan ini sehingga pelayanan Games Ministry berjalan lancar.


Oleh itu, percayakan saja segala kesulitan kita kepada Tuhan sebab Tuhan sentiasa bersama-sama kita. Di samping itu, pelayanan ini mengajar saya agar saling menguatkan sesama kita. Secara pribadi, saya sangat dikuatkan apabila mendengar kesaksian-kesaksian teman sepelayanan yang lain. Seperti itu juga apabila berkunjung dari rumah ke rumah, dimana saya mendengar cerita mereka tentang kebaikan Tuhan dalam hidup mereka telah menguatkan saya juga. Menceritakan tentang kebaikan Tuhan itu merupakan salah satu cara kita untuk saling membangun.


Akhir sekali, trip ini telah membuka hati saya untuk melihat keperluan anak-anak muda di sekitar saya. Setelah pulang dari trip ini, saya mulai memperhatikan orang-orang sekeliling saya, ternyata masih ramai pemuda-pemudi yang hilang yang memerlukan sokongan doa dan sokongan daripada pelayanan ini.


Akhir kata, terima kasih Tuhan Yesus, terima kasih rakan sepelayanan, terima kasih jemaat yang telah dijumpai, terima kasih staf CLC, terima kasih pemberi usaha dana, terima kasih kepada mereka yang mendoakan pelayanan ini dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pelayanan ini. Tuhan Yesus memberkati kamu semua.


-Jee Eldy-

Recent Posts

See All
bottom of page