Shalom semua! Saya sangat bersyukur sebab sudah mengenal seorang Allah Bapa yang begitu besar kasih-Nya dan begitu indah rancangan-Nya untuk hidup saya. Saya bersyukur sebab Tuhan telah memilih dan menghantar saya untuk mengikuti NextGen 2023: Awakening. Pada awalnya bila saya membuat keputusan untuk mengisi pendaftaran NextGen 2023, saya tidak menetapkan ekspektasi yang tinggi, tapi ternyata begitu hebat pekerjaan Tuhan dalam hidup saya sepanjang NextGen 2023. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak yang telah merealisasikan projek ini dengan jayanya. Saya percaya segala usaha dan lelah yang dilalui itu tidak sia-sia akan tetapi sudah menjadi satu berkat kepada kami yang telah mengikuti NextGen 2023. Saya masih ingat semasa saya melayani, saya terganggu secara emosi dan mental. Hal ini seterusnya mengganggu pelayanan saya. Oleh itu, saya mengambil masa untuk diri sendiri dan berdoa kepada Tuhan. Selama 30 minit, Tuhan memulihkan saya secara keseluruhan. Tuhan mengingatkan saya bahawa Dia telah mengampuni saya dan Dia juga mengingatkan saya untuk mengampuni diri sendiri serta melepaskan diri saya dari masalah lalu saya. Di saat itu juga, saya akhirnya berasa lebih ringan dan bebas. Saya turut merasakan kasih-Nya di dalam diri saya. Saya sangat kagum dengan campur tangan Tuhan dalam pergumulan saya, di mana Dia menyembuhkan, memulihkan dan Dia masih memakai saya untuk melayani orang lain. Pada hari yang sama, saya dibimbing oleh Roh Kudus untuk mendoakan beberapa pelajar semasa altar call. Salah seorang daripada pelajar yang saya doakan menegur saya dan dia berkata bahawa dia sangat berterima kasih kerana dia telah merasakan kasih Tuhan. Puji Tuhan! Pelajar ini juga dapat merasakan kasih Tuhan seperti saya.
Saya juga amat bersyukur sebab Tuhan telah meletakkan saya secara khusus dengan ahli kumpulan saya. Mereka begitu penuh dengan sukacita, kasih dan semangat sepanjang pelayanan kami. Mereka juga tidak lupa untuk sentiasa bertanya khabar dan saling mendorong antara satu sama lain. Kalau bukan sebab mereka, saya yakin saya sudah lama putus asa ketika saya sedang bergumul dengan masalah saya. Segala renungan dan kesaksian yang telah disampaikan oleh setiap mereka sangat membangunkan dan menguatkan lagi iman saya. "Mantap betul Tuhan yang saya sembah ni!", itu yang saya fikirkan. Hal ini menyedarkan saya bahawa saya akhirnya sudah temukan sebuah komuniti yang dapat membangunkan saya secara rohani. Saya juga dipakai secara menyeluruh oleh Tuhan dalam Prayer Ministry. Melalui ini, saya sedar begitu pentingnya doa dalam kehidupan seorang Kristian.Tidak ada ungkapan yang benar-benar dapat menggambarkan betapa saya sangat sangat sangat bersyukur kepada Tuhan sebab sudah mengikuti NextGen 2023. Begitu banyak lagi pekerjaan Tuhan yang nyata sepanjang NextGen 2023. This time, I have truly fallen deeper in love with Jesus. Saya tidak mahu berhenti sampai di sini sahaja dan saya ingin berkongsi tentang kasih Tuhan dengan lebih ramai orang. Sememangnya Yesus adalah Tuhan yang kita patut banggakan. Oleh itu, janganlah kita berasa takut atau malu untuk kongsi tentang Dia kepada orang lain. Dengan ini, saya sudah tidak sabar untuk NextGen yang seterusnya. Sampai jumpa lagi, Tuhan memberkati!
Juliette M.