Sejujurnya apabila saya mula-mula mendengar tentang Next Gen, saya sangat teruja dan semuanya sebab ia merupakan acara tahunan yang besar untuk CLC. Saya lebih teruja apabila saya mendengar Next Gen di Sabah! Jadi, apabila saya ditanya sama ada saya mahu menyertai Next Gen, saya menjawab “Ya”, tanpa ragu-ragu. Tapi bila dengar ada juga trip yang sebegini di Sarawak, saya tergerak hati sikit mahu mengubah fikiran kerana kebanyakan kawan trip sebelum ni berada dekat sana. Lama-kelamaan, tiada berita mengenai Next Gen, saya mula memikirkan semula keputusan saya untuk memilih Next Gen berbanding trip yang pergi ke Sarawak. Hanya sehingga awal bulan Ogos apabila mereka memberikan butiran mengenai Next Gen yang membuatkan saya lagi tidak mahu pergi. Bayangkan menjadi salah seorang yang terakhir pulang ke rumah dan selepas hanya 2 minggu berada di rumah kamu perlu meninggalkan rumah semula? Ya, itulah yang saya rasa ketika itu, apatah lagi kalau tentang dana yang perlu kami kumpulkan untuk trip ini.
Apabila saya akhirnya berada di rumah, saya memberitahu ibu bapa saya tentang Next Gen, dan saya minta pendapat mereka sama ada saya harus pergi atau tidak kerana saya sebenarnya mahu meluangkan masa dengan keluarga saya. Sudah hampir satu tahun tidak balik ke rumah. Tetapi ini jawapan bapa saya, “Pergi sahaja, kamu bukan selalu juga dapat peluang seperti ini.”. Saya pun cakap baiklah kerana bapa saya sudah suruh saya untuk menyertai jadi saya pun mencubanya.
Tidak lama selepas itu datang cabaran pertama, dana. Dana untuk kali ini berbeza dengan trip pelayanan saya sebelum ini kerana selain daripada yuran pendaftaran, saya juga perlu mengumpul dana pengangkutan saya sendiri. Itu bukan jumlah yang kecil. Saya tidak pasti siapa yang saya perlu minta, jadi saya kembali kepada ibu bapa saya untuk meminta bantuan sekali lagi. Mereka membantu saya mencari siapa yang boleh dihubungi dan akhirnya saya diberkati dengan lebih daripada apa yang saya minta.
Puji Tuhan! Selepas cabaran pertama berlalu, cabaran kedua timbul. Macam mana saya nak ke Sabah dari Labuan. Terdapat 2 pilihan. Saya memandu atau saya menggunakan kapal terbang. Apabila saya nampak harga tiket penerbangan saya kemudian mengambil keputusan untuk memandu (kali pertama saya memandu di Sabah jadi saya agak takut). 29 Ogos 2022, ini adalah tarikh saya memandu ke Kota Kinabalu bersama bapa saya di tepi saya. Puji Tuhan semuanya berjalan dengan lancar. Pada mulanya, ibu bapa saya tidak yakin dengan saya memandu seorang diri pergi ke Kota Kinabalu, tetapi setelah membuktikan kepada mereka saya boleh dan yakin untuk memandu sendirian akhirnya mereka bersetuju untuk saya memandu seorang diri. Satu lagi berkat datang, iaitu kawan baik saya sejak matrikulasi, dia tanya bolehkah dia ikut kereta saya untuk pergi ke tempat Next Gen. Ketika itulah saya sedar bahawa saya tidak perlu memandu seorang diri lagi. God is working even if we don’t see it or feel it.
Semuanya berlalu dengan sangat pantas, hari pertama di tempat kami berkumpul, saya rasa sangat letih sebab saya main keyboard untuk malam itu dan dengan air sangat terhad di sana, saya tak dapat mandi sampai keesokan harinya. Sejujurnya saya tidak ingat saya main keyboard untuk malam itu, jadi apabila mereka memberitahu saya yang saya main keyboard, saya rasa panik sebab saya tidak berlatih untuk lagu-lagu itu, dan kalau kamu kenal saya, saya tidak boleh bermain dengan baik tanpa latihan yang cukup. Malam itu saya banyak membuat silap, tetapi syukur saya diberkati dengan pemuzik yang hebat hebat untuk cover kesilapan saya. Selain main keyboard, saya juga diberi peluang untuk memimpin worship, saya diberkati dengan peluang untuk saya mempelajari lebih banyak perkara baru tentang diri, keupayaan saya, kekuatan, kelemahan, dan banyak lagi.
Apabila tiba harinya untuk kami pergi berkunjung rumah, saya sebenarnya meragui keupayaan saya dalam pergaulan dengan orang yang tidak kenal kerana saya mempunyai ketakutan ‘apa terjadi kalau ini, apa terjadi kalau itu’, bagaimana kalau apa yang saya berkongsi mereka adalah salah? Tetapi saya telah belajar sesuatu daripadanya, jika saya sendiri tidak percaya dengan perkara yang saya ajar macam mana orang lain akan mempercayainya? Saya bersyukur akhirnya saya dapat berkongsi berita baik dengan kanak-kanak di sana.
Selepas berkunjung 2 rumah itu, saya dapat nampak yang kanak-kanak di tempat itu sangat gembira mungkin sebab lama sudah mereka tidak merasai benda-benda begini. Bila saya nampak mereka gembira, hati saya pun terikut berasa gembira juga. Saya percaya Tuhan telah melakukan banyak perkara untuk saya dalam trip ini dan begitu juga orang-orang di sana. Tetapi jangan fikir bahawa selepas menyertai perjalanan ini akan mencukupi untuk kamu berkembang secara rohani. Ia tidak akan pernah cukup, pergi untuk trip yang seterusnya dan trip yang seterusnya selagi kamu masih mampu. Saya bersyukur kepada Tuhan sebab saya dapat ikut Next Gen dan orang yang saya temui di sana (Terima kasih sebab suka makan cookies saya). See you again Next Gen!
Jangan seorang pun menganggap engkau rendah kerana engkau muda. Jadilah teladan bagi orang-orang percaya, dalam perkataanmu, dalam tingkah lakumu, dalam kasihmu, dalam kesetiaanmu dan dalam kesucianmu.-1 Tim 4:12
-Joel-