Shalom dan nama brita kitak semua?
Puji Tuhan, sudah berakhir perjalanan trip misi saya untuk Next Gen 2023 : Awakening ini. Ini merupakan trip misi Next Gen yang pertama untuk saya secara bersemuka kerana pada tahun 2020, Next Gen diadakan secara atas talian. 14 hari perjalanan Next Gen ini sememangnya membawa satu pengalaman baru kepada saya kerana saya kini bukan lagi pada status junior tetapi lebih kepada senior yang akan melangkah pergi dari universiti. Ini juga membuatkan saya sedar bahawa perjalanan saya diatur Tuhan dengan cara yang cukup indah. Untuk trip misi kali ini, saya bermatlamat untuk membimbing para junior yang akan memikul tanggungjawab besar selepas ini kerana merekalah yang akan menggerakkan pelayanan kampus ini nanti.
Pada mulanya, saya masih mempunyai banyak kerisauan terhadap trip misi ini tetapi Tuhan Yesus itu sangat baik dan membantu mempermudahkan segala urusan trip misi saya. Satu persoalan dalam diri saya ialah “Tuhan, adakah saya bersedia, atau adakah ahli kumpulan saya juga telah bersedia?” Ini merupakan tanda tanya yang cukup besar kepada saya sepanjang trip misi ini kerana saya tidak mahu pelayanan ini dianggap remeh-temeh. Di situ, saya ditegur Tuhan, bahawa kita sebagai satu kumpulan harus saling membantu antara satu sama lain. Puji Tuhan, pelayanan kumpulan saya di Sekolah X selama 5 hari ini berjaya dilaksanakan walaupun pada mulanya masih ada kekurangan tetapi saya sangat bersyukur bahawa ahli kumpulan saya ini mereka saling menyokong antara satu sama lain ibarat satu keluarga yang amat akrab.
Malah, saya juga mengalami breakthrough kerana pertama kali saya harus menjadi moderator semasa forum pra Next Gen dan juga mengendalikan Altar Call yang pada saya ini betul-betul menguji tahap kemampuan saya. Ramai remaja yang kami layani di sekolah X menyahut cabaran untuk menerima Yesus secara peribadi dan ini bukan satu kebetulan tetapi Tuhan Yesus sendiri yang bekerja. Malah, saya mendapat satu visi daripada Tuhan bahawa akan ramai yang mengangkat tangan dan memberikan impak kepada mereka ini. Setelah itu, baru saya sedar bahawa itulah visi yang Tuhan berikan kepada saya ketika malam kejadian. Sungguh besar pekerjaan Tuhan ke atas para remaja ini dan sekali gus membangkitkan iman mereka di dalam Kristus. Terima kasih Tuhan kerana menyediakan segalanya untuk kumpulan kami sepanjang Next Gen ini, dan terima kasih kerana mengguna pakai kami untuk pelayanan di Sekolah X ini. Kami diberkati dan turut memberkati yang lain. Amen.