Allah Bapa yang Maha Pengasih, Maha Mengerti dan Maha Kuasa, syukur ke atas hadirat-Mu ya Bapa atas keberkatan dan kesempatan yang diberikan kepada kami semua untuk menyertai Next Gen : Awakening 2023 untuk melayani anak-anak di kawasan pedalaman Sarawak yang sentiasa rindu akan cinta kasih-Mu dan ingin untuk berserta di bawah naungan dan bimbingan-Mu.
Secara peribadi, bertumbuh dalam Kristus adalah satu titik kemenangan yang tidak akan saya lupakan hingga saat akhirnya tiba kerana saya percaya pada saat kita mengundang Dia dalam hidup kita, Dia tidak akan meninggalkan kita seperti yang telah tertulis pada petikan alkitab Matius 28:20. Sepanjang menjalani kehidupan,.saya selalu meragui diri kerana saya percaya bahawa saya tidak mampu untuk melalukan sesuatu yang boleh memenuhi kehendak orang lain dan tambahan pula, komunikasi juga penghalang untuk saya berhubung dengan orang lain namun, dalam Next Gen 23 ini saya sedar bahawa tiada seorang pun cuba atau berani untuk menghakimi orang lain dan lebih cenderung ke arah membimbing, mengajar dan saling mengasihi antara satu dengan lain kerana kita adalah satu keluarga dalam kasih Tuhan. Sepanjang menjalani next gen di SMK M, saya sentiasa berdoa kepada Tuhan agar Roh Kudus bekerja ke atas ahli kumpulan saya dan walaupun terdapat pelbagai cabaran dan halangan yang kami hadapi terutamanya dari aspek komunikasi dan pemahaman, Tuhan tetap menyertai dan bekerja ke atas pelayanan yang kami lakukan melalui urapan kasih-Nya yang luar biasa terutama ke atas anak-anak di SMK M. Melalui pemerhatian saya, setiap hari anak-anak yang kami layani di SMK M semakin bertumbuh dari aspek berkongsi tentang kasih Tuhan, cara berdoa secara peribadi dan untuk orang lain, cara mengajar dan melakukan penglipatgandaan dalam pelayanan bersama.
Untuk ahli kumpulan saya, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kita yang luar biasa kerana menempatkan saya dalam kumpulan yang penuh semangat beserta talenta yang luar biasa. Saya sangat menghargai dan sayang setiap ahli kumpulan saya seperti keluarga kerana mereka sangat memahami kelemahan peribadi saya dan jika kehendak Tuhan, saya berharap kami akan terus bertumbuh dalam pelayanan bersama sekali lagi. Tidak dilupakan juga ibu bapa, para pemberi dana dan kawan-kawan, agar berkat Tuhan sentiasa mengalir ke dalam kehidupan anda semua dan sokongan anda semua adalah satu kekuatan kepada kami untuk bangkit dalam menyemarakkan iman anak-anak Tuhan.
Tuntasnya, pada masa akan datang saya berharap agar didikan yang kami tanam dalam jiwa anak-anak di SMK M membuahkan hasil tuaian yang luar biasa begitu juga para remaja dari pelbagai peringkat pendidikan, agar mereka tetap dalam jiwa melayani Tuhan dan akan mengikuti Next Gen yang bakal tiba iaitu pada tahun 2024. Tuhan memberkati anda semua!