Shalom, pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur Puji Tuhan sebab saya diberikan kesempatan untuk mengikuti Next Gen: Regeneration 2022. Secara peribadi pelayanan trip seperti ini sememangnya sentiasa menguji iman percaya saya kepada tuntunan tangan Tuhan.
Pada awalnya saya berjalan dengan ketidakpastian kerana saya perlu mengikuti Rancangan Orientasi Kendiri Komuniti-Sekolah (ROKK-S) pada tarikh yang sama dengan trip Next Gen ini. Namun demikian, jika Tuhan berkehendak memang Tuhanlah yang akan membuka jalan. Syukur Puji Tuhan minggu ke-empat ROKK-S kami bersamaan dengan cuti sekolah dan pengurusan sekolah juga membenarkan kami untuk tidak perlu turun ke sekolah. Kami hanya perlu menyiapkan tugasan laporan kami dari rumah dengan bimbingan guru pembimbing. Walau bagaimanapun saya masih mengalami pergumulan dari segi dana. Walaupun saya sering mengikuti pelayanan trip yang seperti Next Gen sebelum ini, namun jujur saya katakan saya bingung siapa lagi peribadi yang perlu saya approach untuk membantu saya mencukupkan dana. Walaupun saya berkata bahawa Tuhan yang menyediakan tetapi berkata-kata itu mudah namun apabila melakukannya disitulah iman saya sebagai orang percaya teruji.
Namun, satu perkara yang saya pegang iaitu lakukan sahaja bahagian kita selebihnya serahkan ke dalam tangan Tuhan. Ambillah langkah iman dan kamu akan melihat bagaimana Tuhan bekerja dengan luar biasa. Terkadang kita meragukan pekerjaan Tuhan bahkan membataskan kuasa-Nya yang luar biasa. Syukur puji Tuhan ada peribadi yang saya tidak jangka mahu membantu saya dalam usaha dana. Bahkan peribadi ini mahu sponsor seratus peratus jumlah dana yang saya perlukan.
Betapa hebat dan luar biasa pekerjaan Tuhan. Satu perkara yang saya pelajari apabila Tuhan yang berkehendak pasti Dia yang akan membuka jalan jauh daripada yang kita fikirkan. Ayat Firman Tuhan ini sangat mendorong saya dan memperingatkan saya kembali bahawa Tuhan yang kita sembah itu ialah Tuhan yang hidup, sumber segala sesuatu.
Tuhan perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.-Mazmur 46:2
-Ong-