top of page

Hati Untuk Generasi


Pada hari terakhir Next Gen, sebelum kami berpisah dari gereja tempat kami melayani, dalam suasana yang haru itu saya mengambil tempat di hujung dewan sambil memperhatikan situasi di depan mata saya. Tanpa saya sedari, air mata saya mengalir. Saya terkejut kerana ini pertama kali berlaku sepanjang pengalaman saya mengikuti trip bersama CLC.


Sebelum ini, saya pulang dari trip seperti ini dengan sukacita dan gelak ketawa tetapi kali ini disertai air mata. Saya yakin air mata yang mengalir itu bukanlah kerana sebuah perpisahan selepas pertemuan atau kesedihan tetapi kerana saya telah melihat pekerjaan Tuhan yang besar dalam kalangan junior saya.


Tuhan telah menyentuh hati saya dalam situasi yang singkat itu. Pada trip kali ini banyak penerobosan yang telah berlaku dalam kalangan junior saya dan itu membawa saya kembali ketika saya masih awal menyertai trip seperti ini. Saya juga telah mengalami penerobosan yang sama seperti mereka dan melihat itu terjadi pada yang lain telah lebih meyakinkan saya bahawa Tuhan yang pernah bekerja dalam hidup saya adalah Tuhan yang sama melakukan karyaNya dalam hidup mereka.


Saya perhatikan bahawa mereka mempunyai kesanggupan dan iman yang teguh kepada janji Tuhan. Dalam masa yang singkat dan cabaran yang banyak, itu tidak menghalang mereka tekun memikul beban hati kepada generasi yang mereka layani. Saya diingatkan oleh Tuhan dengan suatu mesej iaitu, dalam lembah kekelamanlah Tuhan menguji hati dan membantu anak-anaknya mengalami penerobosan iman.


Saya berpeluang mengkongsikan mesej ini kepada beberapa teman sepelayanan saya. Tuhan meneguhkan kami bahawa dalam kelemahanlah KuasaNya menjadi sempurna dan jangan takut menghadapi tekanan tetapi bersukacitalah dalam penyertaan Tuhan. Selain itu, Tuhan mengingatkan saya bahawa hasil jerih payah kamu tidak akan sia-sia. Ini adalah mesej kepada saya dan rakan seperjuangan kerana generasi yang kami layani ketika dahulu kini mempunyai hati penglipatgandaan dan hati seorang gembala yang mahu respon kepada panggilan Tuhan.


Regeneration, tidak akan dapat berlaku jika satu generasi terlupakan dan tiada pelapis untuk generasi baharu. Kali ini mata saya menyaksikan sendiri regenerasi berlaku hasil taburan benih pelayanan ketika dahulu. Oleh itu, dalam pelayanan kali ini saya semakin diteguhkan untuk melayani generasi penerus di kawasan trip kali ini. Jiwa-jiwa yang saya layani mempunyai banyak pergumulan dan situasi yang berbeza walaupun mereka masih muda. Keadaan ini mengajarkan saya untuk lebih peka dan cuba membantu mereka sesuai situasi yang mereka alami. Saya percaya Tuhan dapat melakukan hal-hal yang besar dalam hidup mereka walaupun pada ketika itu saya belum melihat hasilnya. Tuhan mengingatkan kita “Hati Untuk Generasi” seterusnya penting supaya mereka akan selamat hasil daripada generasi sekarang yang mahu bertindak dan menabur benih di ladangnya Tuhan.


-Doi-

Recent Posts

See All
bottom of page