top of page

DENGAN TUHAN, UNTUK TUHAN



Shalom! Terlebih dahulu saya ingin menaikkan ucapan syukur saya kepada Tuhan atas penyertaan dan pimpinanNya disepanjang NextGen23 berlangsung. Saya sangat bersyukur atas kesempatan yang telah diberikan kepada saya untuk melayani dalam NextGen23. Buat pengetahuan semua ini merupakan NextGen pertama saya dan juga pertama kali saya melayani dalam trip misi. Melalui trip misi yang kawan-kawan saya telah ikuti sebelum ini telah membuka hati saya untuk mengikuti NextGen23. Saya begitu teruja menantikan apa yang Tuhan sediakan untuk saya.

Saya akui proses persiapan sebelum NextGen23 adalah tidak mudah bagi saya. Menjadi seorang treasurer, banyak perkara yang telah saya lalui dan sering mengatakan bahawa saya tidak mampu lagi tetapi pada masa yang sama hati saya masih ingin teruskan. Melalui pelayanan saya sebagai treasurer, Tuhan sebenarnya ingin saya terus percaya dan melihat bahawa Dia akan menyediakan dan mencukupkan. Mengusahakan dana bukan mudah, tapi melalui itu Tuhan ingin saya terus beriman kepadaNya. Bila saya tertumpu kepada perkara yang materialistic, saya gagal untuk melihat kuasa Tuhan. Dan apabila saya meletakkan tumpuan saya kepadaNya, saya sangat kagum melihat bagaimana Tuhan bekerja dengan luar biasa untuk mencukupkan setiap keperluan kita menjelang dan disepanjang NextGen23.

Ketika NextGen23 berlangsung, kami ditempatkan di SMK S dan kami telah melakukan sesi heart-to-heart dengan pelajar dalam sesi UBK. Melalui sesi itu saya sedar bahawa mereka sangat memerlukan sokongan dan dorongan dari segi rohani, emosi dan mental dan juga pendidikan mereka. Melihat itu, hati saya sangat terpanggil untuk membantu mereka. Walaupun tidak banyak yang saya dapat bantu tapi saya serahkan setiap pergumulan mereka kepada Tuhan dan biar Dia yang bekerja atas pergumulan mereka. Semasa hari terakhir sesi ISCF, saya dan kru yang lain sangat terharu melihat bagaimana pelajar yang kami telah muridkan akhirnya berjaya memuridkan junior mereka yang lain. Segala puji hanya bagi Tuhan kerana semua ini adalah atas campur tangan Tuhan. Pelajar-pelajar ISCF SMK S punya hati yang besar untuk melayani dan melalui itu saya turut terdorong untuk bersemangat dalam pelayan saya. Saya percaya Tuhan akan terus bekerja dalam hati setiap anak-anak ISCF SMK S.

Akhir sekali, saya percaya keberadaan saya dalam NextGen23 bukanlah satu kebetulan tetapi rencana Tuhan yang indah. Saya sangat bersyukur dengan talenta yang Tuhan telah berikan kepada saya. Menyedarkan saya untuk lakukan segala sesuatu dengan Tuhan, untuk Tuhan dan untuk kemulian namaNya. #BukanKuatBukanGagahku

Recent Posts

See All
bottom of page