Shalom, Syukur Puji Tuhan atas penyertaanNya sepanjang Next Gen Project 2023. Saya sangat senang dapat mengongsikan kesaksian saya sepanjang pelayanan NG23. Pada hari pertama kami melayani pelajar-pelajar di sana saya demam dan kehilangan suara. Ketika itu saya sangat risau, sedih dan kesal dengan diri saya kerana pelayanan kami baru sahaja bermula. Saya banyak berfikir dan bertanya kepada Tuhan. “Apa yang harus saya lakukan kalau saya sakit, Tuhan? Saya tidak mahu berehat sahaja”. Haleluyah! Haleluyah! Puji Tuhan! Saya diberi kekuatan sepanjang 4 hari pelayanan kami sehingga saya boleh berlari ke sana ke sini sepanjang pelayanan di sekolah S, memang ramai pelajar mengenali Yesus cuma semangat mereka sudah berkurang. Namun, setelah ‘leaders’ yang diperlengkapkan dihantar untuk mengongsikan 4SL kepada pelajar lain, saya melihat mereka boleh mengongsikan dengan yakin dan lancar. Puji Tuhan, seorang pelajar ini telah menerima Yesus setelah saya mengongsikan kesaksian peribadi saya. Dia menghadapi cabaran yang berat sehingga dia susah untuk menerima Yesus. Rata-rata pelajar di sini mempunyai masalah tersendiri yang dipendam dan mereka memerlukan orang untuk mendengar mereka dan mereka sangat perlukan dorongan. Saya bersyukur kerana Tuhan memakai kami dan memanggil kami melayani pelajar di sekolah tersebut.
Sebelum ini juga saya berfikir breakthrough hanyalah sekadar berjaya keluar dari zon selesa, cuba sesuatu yang baru dan belajar banyak perkara baru. Namun, belajar untuk menerima sesuatu perkara yang tidak sesuai dengan apa yang kita rancangkan juga sebahagian daripada breakthrough. Itu adalah apa yang telah saya lalui dan secara peribadi banyak cabaran yang telah saya lalui dari awal persiapan sehingga hari kejadian NG23. Memang bukan proses yang mudah tetapi Tuhan yang menguatkan. Tuhan itu baik dan Dia akan sentiasa menyertai! Saya percaya ini adalah salah satu cara Tuhan membentuk hati dan karakter saya. Dalam kata lain, NG23 banyak mengajar saya untuk melihat dari perspektif Tuhan dan bukan dari perspektif diri sendiri.
Mengenali peribadi semua kru NG23 membuat saya sangat bersyukur dan diberkati. Saya bangga melihat pertumbuhan rohani mereka terutama bagi yang ‘first timer’. Ini disebabkan tidak ramai remaja yang mempunyai hati bermisi kerana mungkin disebabkan perasaan takut dan risau. Memang di satu sisi, ramai remaja Kristian berkerinduan melayani Tuhan. Namun, jika tidak berhati-hati, pelayanan dalam gereja boleh membuat jemaat terlena untuk tidak melakukan Amanat Agung kerana jemaat hanya diperlengkapi untuk melayani semasa kegiatan dan aktiviti gereja. Melihat kesanggupan dan kerendahan hati mereka membuat saya bersyukur kepada Tuhan. Saya berharap agar kru NG23 terus menjadi terang dan garam bagi orang-orang di sekeliling. Semoga kesaksian ini memberkati kamu yang membaca. Tuhan Yesus Memberkati.