top of page

BETAPA BAIKNYA ENGKAU



Betapa Baiknya Engkau

Shalom dan puji Tuhan, saya Joe asal dari Sabah. Pertama sekali, saya ingin bersyukur atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menyertai trip misi ke Sarawak kali ini. Sejujurnya bukan mudah untuk saya menyertai trip misi ini atas beberapa faktor contohnya dari segi kewangan, kerjaya dan juga pengangkutan. Banyak sekali pertimbangan akan tetapi saya percaya dengan Firman Tuhan dalam Filipi 4:6 yang mengatakan untuk serahkan segala sesuatu kepada-Nya, ayat ini menjadi pegangan saya sepanjang persediaan saya untuk mengikuti trip misi kali ini. Pendek kata, Tuhan menyediakan keperluan saya sesuai dengan kekurangan saya pada waktu ini dan saya bersyukur juga kerana pada saat-saat lain juga saya mendapat berkat yang lebih. Dalam situasi ini membuatkan saya lebih teguh lagi untuk setia dalam iman kerana Tuhan sudah menunjukkan kasih-Nya kepada saya.

Semasa pra-misi, kami perlu menjalani beberapa latihan khusus untuk menambah pemahaman dan juga persediaan dalam menghadapi situasi dan peperangan rohani yang bakal kami hadapi pada kelak hari. Semasa ini, saya merupakan seorang ‘programmer’ dan juga ‘mastermind’ dalam beberapa pengajaran. Ada ketika yang membuatkan saya selalu berada dalam keadaan resah, disebabkan saya masih baru dalam memegang jawatan ‘programmer’ bak kata orang tidur tak lena, mandi tak basah. Perubahan dalam tentatif secara mengejut dan peraturan setempat adalah perkara yang sering saya hadapi. Sejujurnya saya adalah orang yang fleksibel tetapi keadaan ini membuatkan saya tertekan ditambah lagi dengan ekspektasi, jujur saya tidak kuat. Hampir setiap malam saya mengeluarkan air mata, tetapi Tuhan mengetuk hati saya, apa yang saya alami sekarang tidak lebih dari kemampuan saya melainkan ia untuk menguatkan saya (1 Korintus 10:13). Hingga hari terakhir sebelum kami ke tempat masing-masing, firman ini mengingatkan saya semula untuk tidak mengalah.

Saya bersama 8 lagi ahli pergi ke SMK ‘M’ dan menetap di sana selama 5 hari. Saya secara peribadi melihat ada keperluan dan dorongan yang harus kami berikan kepada generasi muda dalam sekolah ini kerana sepanjang berada disana, ada perkara yang menggerakkan hati saya untuk bertekad membantu adik-adik dalam pertumbuhan iman peribadi mereka. Saya tetapkan untuk melayani setiap daripada mereka, dan ini membuka mata dan fikiran saya kerana mereka semangat akan perkara yang kami laksanakan. Di samping kami melayani mereka, ada juga pelajaran dan motivasi yang kami berikan untuk mendorong mereka dalam perjalanan masa depan. Mendengar kisah mereka akan kesusahan dan tekanan mereka, saya turut empati kerana saya juga pernah ditempat mereka. Bersama-sama dengan mereka 5 hari, saya tergerak mengongsikan kisah hidup saya. Ada perkara yang saya pelajari dari mereka di mana dalam apapun keadaan ingatlah untuk terus mengandalkan Tuhan dalam kehidupan. Melalui perkongsian mereka, saya disegarkan kembali dan iman saya diteguhkan bukan kerana empati tetapi Tuhan telah mengasihi saya dengan menyertakan saya dalam pelayanan ini. Akhir kata, Hallelujah saya sudah selesai trip misi dan apa yang saya pelajari akan saya kongsikan kepada orang-orang tentang perjuangan saya di mana Tuhan melayakkan saya dan menopang dalam perjalanan iman saya. Sekian.

Recent Posts

See All
bottom of page