top of page

BERKAT DALAM PELAYANAN



Awalnya saya ragu saya dapat bekerjasama dengan ahli kumpulan saya kerana semuanya orang baru dan mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Malah, saya juga ragu untuk menyertai Next Gen kerana sepertinya saya terlalu banyak meluangkan masa di luar berbanding bersama keluarga. Tambahan lagi, saya masih dikuasai perasaan malu dan takut ditolak apabila menyampaikan Injil. Tetapi sebelum semester kedua tamat, saya diingatkan lagi oleh senior saya tentang Next Gen dan ini membuat saya berfikir lagi tentang panggilan Tuhan bagi saya. Timbul di benak saya bahawa ini juga masa Tuhan untuk pakai saya lagi.

Banyak perkara yang saya pelajari dan dapati dalam NextGen kali ini terutama sekali dalam pelayanan. Saya cuba mendapatkan pengalaman pelayanan pertama saya sebagai penari rebana, dan walaupun agak susah untuk saya tangkap setiap gerakan, ramai peribadi yang baru sahaja saya kenali membantu dan memberi galakan kepada saya. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan kepada saya melalui peribadi² tersebut. Selain itu, saya sedar banyak yang belum saya kuasai. Saya sangat bersyukur dengan adanya sesi Check-Out, saya dapat mengetahui kelemahan dan kekurangan saya semasa melakukan perkongsian terutama sekali 4SL, JOF dan Vision Casting.

Seterusnya, saya rasa diberkati apabila melakukan perkongsian, pengajaran dan perkumpulan rohani di sekolah. Ini juga secara tidak langsung menyedarkan kami yang melayani di sana tentang keperluan rohani yang mendesak di sekolah tersebut. Saya juga sedar akan kepentingan sesi "Heart to Heart" bersama pelajar, kerana ini membantu mereka mengurangkan beban hati dan fikiran yang mereka pendam sehingga menjadi kepahitan yang terbawa terus menerus dalam kehidupan seharian mereka. Bersama ahli kumpulan selama lebih seminggu juga telah membangun saya dan membuat saya sedar tentang betapa seronoknya bertemu dengan orang-orang yang baru dimana kami dapat berkongsi dan meluangkan waktu bersama. Tidak saya nafikan mereka mempunyai peribadi yang membuatkan setiap dari mereka istimewa dan sangat berharga.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana kebaikan-Nya dan kerana Dia telah mengasihi saya terlebih dahulu. Oleh itu, saya perlu mengasihi orang lain juga dan salah satu caranya adalah melalui pelayanan saya ini. Walaupun saya selalu ragu dan takut untuk menyahut panggilan Tuhan dalam hidup saya namun Tuhan masih memakai saya sampai saat ini. 1 Timotius 1:12 "Aku bersyukur kepada Dia, yang menguatkan aku, yaitu Kristus Yesus, Tuhan kita, karena Ia menganggap aku setia dan mempercayakan pelayanan ini kepadaku. "

Sekian,

"Ku kasihi kau dengan kasih Tuhan!"

Recent Posts

See All
bottom of page