top of page

Ayamak Next Gen!


Shalom dan hai.


Selamat membaca kisah Ayamak Next Gen!


Bagi saya secara peribadi pengalaman menyertai Next Gen sangat bahagia kerana saya dapat berkembang secara peribadi baik dari segi rohani, mental mahupun pergaulan saya.

Dari segi rohani, secara peribadi saya mendapat teguran daripada Tuhan Yesus tentang fokus saya dalam pelayanan. Apabila saya sudah terbiasa melakukan suatu perkara yang saya sangkakan itu merupakan terbaik kerana perkara itu merupakan kebiasaan saya untuk saya lakukan. Jangkaan saya yang sedemikian menyebabkan saya mementingkan diri sendiri. Apabila saya menjadi Worship Leader, saya tidak bersungguh-sungguh mempersiapkan diri seolah-olah saya sudah mempersiapkan yang terbaik. Kemudian, semasa kami melakukan latihan, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku iaitu, saya secara tiba-tiba lupa tentang tanda. Saya berasa ingin berhenti dan balik untuk menangis. Terima kasih Tuhan untuk rahmatNya apabila saya dimampukan untuk memilih tidak berhenti dan berserah kepada Tuhan sepenuhnya.


Kuasa Tuhan menjadi sempurna saat kita lemah. Tugas kita hanya perlu taat melayaniNya meskipun kadang kita rasa tidak layak. Tetaplah melayaniNya tanpa sebarang keraguan. Kemudiannya, saya mengambil masa untuk berdoa kepada Tuhan dengan pimpinan Roh Kudus saya mengetahui bahawa saya memang mementingkan diri sendiri sebelum tadi. Ketika inilah firman Tuhan tentang “diluar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa” tidak lagi menjadi hanya sebatas pengetahuan tetapi turun ke hati saya dan mengubah respon saya terhadap sesuatu pelayanan yang Tuhan percayakan kepada saya.


Dari segi mental, saya dapat merasakan perkembangan dari aspek perubahan pemikiran. Saya sangat tidak yakin dalam pembelajaran saya disebabkan oleh kejutan budaya cara belajar yang berbeza tetapi apabila saya menyertai Next Gen, saya dapat memahami kehidupan di universiti dari sudut yang berbeza melalui crew Next Gen yang lain. Keadaan ini memberikan kesedaran kepada saya bahawa pergaulan yang tepat juga menjadi faktornya. Saya belajar cara yang sepatutnya menjadi seorang Kristian yang berbuah baik dalam kata-kata mahupun tindakan.


Sebuah pedoman bagi diri saya ialah Tuhan melihat hati, tapi manusia melihat bukti. Saya belajar menjadi seorang pengikut Tuhan Yesus yang bersinar untuk kemuliaan Tuhan di mana pun saya berada agar orang sekeliling saya dapat melihat kasih Tuhan yang indah melalui buah kehidupan saya. Pengertian tentang kerendahan hati juga mengubah saya secara peribadi. Kini, saya sedar bahawa dalam kerendahan hati ada kasih, belas kasihan dan kepedulian.


Dari segi pergaulan, saya rasa sangat bahagia. Pada mulanya, saya berasa agak malu kerana saya berasa bahawa kebanyakan crew iaitu lebih daripada 20 orang crew merupakan pelajar universiti. Justeru itu, saya merasakan untuk lebih serius dalam pelayanan ini kerana saya juga jenis seseorang yang suka ketawa. Namun begitu, saya tidak menyangka bahawa mereka juga sangat lucu. Mereka lakukan! Mereka sangat luar biasa! Saya dapat merasakan bahawa setiap yang terlibat menerima sesama mereka dengan ikhlas. Semua orang dapat bergaul dengan sangat rapat dan secara tidak langsung, saya dapat meningkatkan kemahiran bersosial saya semasa Next Gen ini.


Apabila saya memberitakan khabar baik dengan orang lain, saya belajar cara mendekati mereka melalui perbualan dan saya juga mempelajari cara penyampaian berita baik dengan orang yang saya tidak kenal. Saya juga belajar cara membangun sebuah hubungan di dalam kasih Tuhan Yesus dengan orang yang baru saya kenal. Pertemuan dengan setiap peribadi mengingatkan saya tentang peribadi Tuhan Yesus yang sangat mengasihi kita dengan apa adanya. Tuhan Yesus tidak menuntut kita untuk berubah namun perubahan itu terjadi atas kehendak kita sendiri yang mahu menjadi peribadi yang semakin berkenan di hadapan Tuhan Yesus. Saya sangat berterima kasih atas kesempatan dan peluang menyertai Next Gen. Semoga setiap daripada kita bersama-sama mempersiapkan diri untuk diguna pakai oleh Tuhan, berbuah di mana pun kita berada, pelayanan terbesar kita adalah melalui kehidupan kita dan semakin bertumbuh, semakin mengenal dan mencintai Tuhan Yesus kita. Semoga maju jaya dalam hidup kamu, Tuhan memberkati.


-Marnee-

Recent Posts

See All
bottom of page