Hai, semua! Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berkongsi kisah hidup saya untuk memberkati individu-individu yang membaca perkongsian ini. Saya akan berkongsi tentang kehidupan saya sebagai seorang pelajar.
Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku (Filipi 4:13), merupakan ayat pegangan saya sejak saya berada di bangku sekolah lagi. Saya berpendapat bahawa semua keinginan saya dapat saya capai jika saya mengandalkan Tuhan. Selain itu, saya juga seorang yang tidak suka menyakitkan hati ibu bapa saya. Oleh itu, saya akan cuba untuk mengikut segala kehendak mereka walaupun kehendak mereka kadangkala melawan kehendak diri.
Dengan berkat kebijaksanaan yang Tuhan beri, saya memperoleh keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan awam (UPSR, PT3 dan SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran saya ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML). Kedua-dua ibu bapa dan keluarga besar saya sangatlah teruja apabila mereka mengetahui bahawa saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang sains dan mereka sangat berharap agar saya meneruskan pengajian dalam bidang perubatan setelah tamat program setahun saya di KML. Sejak hari itu, saya cuba untuk memenuhi kehendak mereka walaupun jauh di sudut hati saya tidak berminat dengan bidang perubatan kerana saya lebih berminat dalam bidang pendidikan.
“If I have the intelligence to achieve their dream. Why not I try lah kan. Dorang happy, saya pun happy.”
Malangnya, keputusan semester 1 saya tidak melepasi syarat minima untuk memohon bidang perubatan. Pada masa itu, saya menyalahkan diri kerana tidak mendapat keputusan yang lebih baik dan saya juga berasa sedih kerana telah menghancurkan harapan keluarga saya. Apabila saya memberitahu perkara ini kepada ibu bapa saya, mummy saya berkata,
“Tidak pa lah, Ondo. Ondo isi ja lah apa-apa yang Ondo minat.”
Walaupun respon mummy sedemikian tetapi saya tetap dapat merasakan kekecewaan mereka.
Akhirnya, saya membuat keputusan untuk memohon dalam bidang pendidikan sehari sebelum tarikh tutup permohonan UPU dan inilah kali pertama saya membuat keputusan yang melibatkan masa hadapan saya tanpa mengambil kira pendapat orang lain. Dipendekkan cerita, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan pertama saya iaitu Sarjana Muda Pendidikan (TESOL) (KEPUJIAN) di Universiti Sains Malaysia (UPU) .
“Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalan-Ku”, demikianlah firman TUHAN. Seperti tingginya langit dari bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku dari jalanmu dan rancangan-Ku dari rancanganmu(Yesaya 55:8-9). Rancangan Tuhan dalam kehidupan kita sangatlah indah. Walaupun saya berasa kecewa kerana tidak dapat memenuhi hasrat keluarga tetapi Tuhan telah menyediakan rancangan yang lebih baik dengan memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang saya minati. Sebagai anak Tuhan, kita tidak sepatutnya berasa kecewa jika perkara yang kita rancangkan tidak seperti yang kita rancangkan kerana rancangan manusia tidak dapat menandingi rancangan Tuhan dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita haruslah sentiasa ingat akan anugerah penyelamatan Tuhan Yesus yang merupakan rancangan terindah Tuhan untuk menyelamatkan kita yang telah jatuh ke dalam dosa agar kita memperoleh hidup yang kekal. Tuhan memberkati!
— Irine Nasiring