top of page

Tenang & Menang


Kita semua sudah pasti tidak akan pernah mengetahui apa yang akan berlaku di hadapan kita. Sebagai orang yang percaya dengan Tuhan, kita harus melangkah dalam setiap tindakan dengan iman. Kita harus percaya Tuhan Yesus sentiasa menyertai kita dalam pelbagai keadaan yang menerpa kita.


Terlampau banyak kebaikan Tuhan yang melimpah dalam diri saya sehingga saya betul-betul merasa bahawa Tuhan memang tidak pernah meninggalkan kita sekalipun. Baik dalam keadaan kita yang suka atau pun duka, Tuhan sentiasa ada. Jadi hari ini saya ingin berkongsi dengan kamu semua akan kebaikan Tuhan dalam kehidupan mengenai sebuah peristiwa perjalanan Latihan Industri saya.


Sebelum menamatkan ijazah dalam tahun 2020 ini, saya harus menjalani sebuah latihan industri berdasarkan pengkhususan yang saya ambil di Universiti. Jadi saya telah memutuskan untuk mengambil penempatan latihan Industri di Pulau Pinang tanpa perlu balik ke Sarawak tempat tinggal saya. Puji Tuhan, saya telah diterima untuk menjalani latihan industri di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara Penang dengan jayanya. Dengan itu, saya telah memutuskan untuk tinggal di asrama kampus saya sahaja supaya keadaan kewangan saya lebih jimat dari segi kos rumah. Pada awalnya, saya sangat senang hati kerana melihat segala perancangan saya untuk menjalani latihan industri sangat mudah. Diterima oleh penempatan dan proses permohonan penempatan turut sangat mudah. Namun segala sesuatu yang di hadapan kita masih belum pasti lagi. Pada bulan Februari, iaitu tiga hari sebelum saya bekerja sebagai pelatih industri, pihak Universiti saya telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pelajar yang menjalani latihan industri di luar kampus masuk ke asrama Universiti kami. Hal ini demikian kerana, mengelakkan keadaan keluar-masuk kampus oleh para pelajar yang menjalani latihan industri membawa bahaya kepada pelajar di kampus pada musim pandemik ini. Pada waktu itu saya mulai risau, kerana saya sebetulnya tiada persediaan untuk melangkah keluar daripada asrama Universiti kami. Segala persiapan dari segi fizikal, mental dan kewangan peribadi saya sangatlah tidak bersedia pada waktu. Keadaaan itu sangat mendesak peribadi saya. Dalam waktu itu, untuk meminta pertolongan kepada orang lain pun saya rasa tidak cukup masa, hahahah. Saya hanya cuba menghubungi kawan-kawan yang berdekatan dengan tempat saya latihan industri namun rumah tiada kekosongan untuk saya menyewa bersama-sama. Jadi saya hanya mampu berdoa sahaja supaya Tuhan tetap memberi saya semangat untuk menerima setiap perubahan ini. Saya ambil masa satu hari untuk cuba menenangkan diri mengenai keadaan ini dan mulai mengatur strategi untuk persiapan. Saya turut memberitahu keluarga saya mengenai perkara ini supaya mereka tidak risau.

Sebelum itu, saya menghadapi tekanan yang betul-betul mengakibatkan saya menangis teresak-esak kerana panik untuk persiapan seterusnya. Saya cuba tenangkan diri dengan merenung firman Tuhan. Semasa saya membaca firman Tuhan, sekali lagi saya diperingatkan dalam Matius 6:26, mengenai kisah keadaan burung-burung pun Tuhan Yesus bagi makanan, apa lagi diri saya yang jauh lebih berharga di hadapan mata Bapa di syurga.

Saya memutuskan untuk tidur dan menenangkan diri saya untuk hari esok. Keesokan hari saya menguruskan segala surat pelepasan saya untuk keluar dari kampus Universiti. Puji Tuhan sangat mudah, tidak seperti yang saya dengar sebelum ini sangat susah dan lama proses. an dalam masa beberapa jam sahaja saya dapat mencari rumah sewa pada malam itu. Bonus yang Tuhan bagi juga ialah rumah sewa itu sebenarnya dimiliki oleh orang kenalan saya di Universiti dan harga sewa bilik yang ditawarkan cukup murah untuk diri saya yang bergelar seorang pelajar. Luar biasa, dalam masa satu hari sahaja, Tuhan menguruskan segala perkara yang mustahil bagi saya dengan sangat senang. Tuhan bekerja dengan sangat luar biasa semasa proses latihan industri saya. Sehingga saat ini, saya diperingatkan dengan kebaikan Tuhan dalam proses latihan industri saya. Macam mimpi semua itu berlaku dalam sekelip mata, tapi itulah, kekuatan kasih Tuhan Yesus kita memang nyata! Yang penting, bersama-sama dengan Tuhan, harus tenang dan menang!


—Joyana Clement

Recent Posts

See All
bottom of page